Malaysian Cub Prix – Pusingan 1, Serdang: Kasma Daniel Juara pada Penampilan Pertama di CP130, Amirul – Juara CP115, Shafiq – Juara Wira

 

Kasma in action
Kasma Daniel CP130

Pelumba muda berbakat, Kasma Daniel Kasmayudin menepati ramalan mampu mencipta kejutan dalam saingan CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016 apabila berjaya muncul juara pada penampilan pertamanya dalam kelas tersebut di Litar Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor.

Pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor itu meneruskan rentetan kejayaan cemerlang memenangi gelaran CP115 pada musim lepas apabila selesa mendahului keseluruhan perlumbaan sekaligus berjaya mengetepikan cabaran rakan-rakan senior termasuk rakan sepasukan, Ahmad Fazli Sham yang menamatkan saingan di tempat kedua. 

CP115 winner, Tengku Amirul
Tengku Amirul CP115

Sementara itu, Md Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Racing) yang mencatat masa terpantas pada sesi ujian masa, semalam menamatkan perlumbaan di tempat ketiga setelah berjaya mengetepikan cabaran sengit yang diberikan Abd Muhaimin Roslan dan Mohd Izzat Zaidi di sepanjang perlumbaan.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini meskipun saya jangkakan persaingan yang lebih sengit. Mungkin ini disebabkan beberapa insiden di permulaan perlumbaan membantu saya untuk menjarakkan diri dengan pelumba lain dari awal lagi manakala persaingan sengit beberapa pelumba di belakang membantu saya untuk terus bersendirian sehingga ke garisan penamat,” jelas Kasma yang akan menginjak ke usia 16 tahun pada tahun ini.

Tambahnya, “Saya berterima kasih kepada pasukan kerana menyediakan jentera yang baik dan juga mempercayai kemampuan saya. Kemenangan ini tidak menjadikan saya selesa sebaliknya perlu bekerja lebih keras.”

Menyentuh tentang cabaran pusingan kedua di Pulau Pinang April depan, Kasma berkata,”Saingan pasti berbeza, tidak seperti hari ini. Pasukan lain pasti akan lebih bersedia. Walau bagaimanapun, apa yang penting adalah untuk saya memulakan perlumbaan dari barisan depan,” tambahnya.

Sementara itu, perlumbaan kelas Wira menjadi milik naib juara musim 2015, Tengku Amirul Haffirudin dari pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang yang menewaskan Md Fareez Afeez (Felda PB Racing) manakala pendatang baharu kelas CP115 yang juga merupakan juara kelas Wira 2015, Md Harith Farhan Baharin (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) di kedudukan ketiga.

Saingan kelas Wira dikuasai oleh Mohd Shafiq Ezzariq (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) diikuti Md Qhuwarismi Md Nasir (Weststar Motorsport) dan S. Alif Nazirul S. Ismail (Persendirian) di tempat ketiga.

Keputusan

CP130

  1. Kasma Daniel Kasmayudin (PETRONAS Yamaha Maju Motor)
  2. Ahmad Fazli Sham (PETRONAS Yamaha Maju Motor)
  3. Mohd Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Racing)
  4. Mohd Izzat Zaidi (Motul Zeneos Yamaha YY Pang)
  5. Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing)

 

CP115

  1. Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang)
  2. Md Fareez Afeez (Felda PB Racing)
  3. Md Harith Farhan Baharin (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing)
  4. Md Hazieq Md Fairues (PETRONAS Yamaha Maju Motor)
  5. Zaidi Mohd Zaifaizal (Motul Zeneos Yamaha YY Pang)

 

WIRA

  1. Mohd Shafiq Ezzariq (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing)
  2. Md Qhuwarismi Md Nasir (Weststar Motorsport)
  3. S. Alif Nazirul S. Ismail (Persendirian)
  4. Saiful Azhary Muhamad (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing)
  5. Md Aiman Tahiruddin (PETRONAS Yamaha)
Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]